Pages

Tuesday, January 31, 2012

Cinta Kepada Rasulullah SAW

Rutin membaca al-Qur'an di subuh menemukan saya dengan ayat 31 Surah al-Baqarah yang bermaksud:

"Katakanlah (Muhammad), 'Sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, maka Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu.' Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang"
Saya fikir, inilah jalan termudah mendapatkan cinta Allah dan keampunanNya.

Cintai RasulNya dan ikuti sunnah Baginda-itu sahaja.

Mudah bukan? Kedengarannya memang mudah. Praktikalitinya Insya Allah, juga mudah.

Orang kata sekiranya kita mencintai seseorang, kita akan selalu menyebut-nyebut namanya, dengan sedar dan tanpa sedar juga. Begitulah juga dengan menerapkan cinta terhadap Rasulullah SAW.

Andai sahaja ketika ini rasa cinta itu masih belum berbunga di hati kita, cubalah selalu berselawat kepada Baginda. Paksa diri untuk berselawat setiap hari. Besar pahalanya untuk kita. Allah janjikan syafaat untuk kita suatu hari nanti.

Mainkan lagu-lagu atau nasyid mengenai Rasulullah SAW. Baca catatan biografi atau sirah hidup Baginda. Selami bagaimana peritnya kehidupan seorang manusia agung dalam usaha Baginda membawa risalah suci ini.

Akhirnya, mohonlah kepada Rabbul Jalil...

Tuhan, kurniakan daku rasa cinta kepada RasulMu ini supaya aku boleh raih cintaMu. Jadikanlah aku ummat Muhammad yang mudah mengikuti semua sunnah Baginda Ya Allah! RasulMu ini sungguh tidak terbilang jasanya kepada kami ummatnya. Pengorbanan Bagindalah yang menyebabkan Islam kepada kami dan mudah-mudahan kami mendapat syafaat daripada Baginda di hari yang tiada lagi pertolongan dan bantuan selain daripada pertolongan dan bantuanMu.

Amin Ya Rabbal 'Alamin!

Saturday, January 21, 2012

Masa, Tunggu Saya!

Hari ini hari ke 21 untuk tahun 2012. Begitu cepatnya masa berlalu seperti baru semalam menyambut ketibaan tahun baru 2012.

Saya punya banyak perancangan untuk tahun ini. Anak-anak, kerjaya, bisnes, penulisan dakwah... Wah! Banyak betul ya!

Saya rasa saya perlu menjadi manusia yang lebih aktif dan sibuk supaya saya boleh memberi lebih banyak kepada orang lain dan diri saya sendiri. Namun dalam mengejar misi ini, saya terasa seperti kesemputan nafas mengejar masa.

Masa sangat pantas dan saya sedang cuba sedaya upaya mengejarnya.

Masa sudah jauh ke hadapan. Saya ketinggalan di belakang.

Tetapi dalam masa 21 hari ini saya rasa saya masih belum banyak ketinggalan. Masih ada masa untuk memperbaiki kedudukan. Masih ada ruang mempercepat kelajuan.

Caranya, saya harus kurangkan tidur, tv, berborak-borak kosong, facebooking etc, etc.

Boleh ke? Insya Allah, saya selalu yakin Allah akan membantu orang-orang yang kuat azam dan rajin berusaha.

Kemudian, perkemas strategi dan teruskan berlari...Jangan toleh-toleh belakang.

Lihat ke hadapan, kepada matlamat besar kita. Jangan terpengaruh dengan gerai-gerai kecil di tepi-tepi jalan.

Teruskan larian dengan mantap sambil hati sentiasa mengingati Allah, mensyukuri segala-segala yang sedang kita nikmati kini.

Mudah-mudahan kita akan segera sampai ke destinasi. Sekiranya dalam hati ada Allah dan Rasulullah SAW, perjalanan ini tidak akan terasa meletihkan, menyesakkan dan membosankan. Malah ia ada suatu perjalanan yang membahagiakan!

Tuhan, pimpin tangan saya dalam perjalanan ini. Jangan biarkan saya terlalai walau sesaat. Saya pasti tersesat andai tiada pimpinan dariMu. Saya hanya mahu menjadi hambaMu!

P/s- motivasi untuk diri sendiri ketika tiba-tiba nafas terasa sesak dengan kehidupan ini!

Sunday, January 1, 2012

Selamat Tahun Baru 2012


Pejam celik pejam celik, tahun baru tiba lagi. Tahun 2011 tahun yang penuh warna warni bagi diri saya dan keluarga. Awal tahun 2011, kami menyambutnya dengan penuh warna ceria.

Masuk rumah baru. Bukanlah rumah impian saya terutamanya, tetapi ia menepati bajet kewangan dan agak luas bagi keluarga kami.

Saya mendapat kerja baru. Bidang tugas yang sama, namun pemiliknya bermurah hati mengambil saya yang ketika hanya menunggu masa untuk melahirkan!

Iqbal, anak sulung kami memasuki darjah satu di sekolah pilihan kami. Alhamdulillah, dia lulus ujian kelayakan dan berjaya mendapat tempat di situ.

Akhirnya, kami mendapat cahaya mata keempat-seorang putri pelengkap kebahagiaan kami. Saya berjaya bersalin di hospital rebutan ramai - Hospital Putrajaya. Hampir-hampir ditolak ke hospital lain! Mujur ada Jabbar di situ!


Untuk tahun 2012 ini, kami menyambutnya dengan penuh rasa syukur yang melimpah ruah. Tiada yang baru namun, azam dan semangat diperbaharui supaya impian besar segera tercapai, di dalam tahun ini juga.

Apa impian itu? Insya Allah akan saya huraikan nanti.

Istimewa untuk hari ini, kami menyambutnya dengan bermalam di rumah mama (seperti biasa tanpa suami, yang tidak boleh meninggalkan kedainya!). Kebetulan ada yang datang merisik untuk adik bongsu kami. Wah! Hampir menuju alam baru adik kecilku ini...

Esok harinya, saya membawa anak-anak berenang di Putrajaya. Mereka enjoy walaupun tidak seseronok di Precint 16, kolam renang berbayar itu!

Apa pun, terima kasih Tuhan kerana masih memberikan kami peluang hidup pada hari ini. Insya Allah, tahun 2012 ini pasti membuahkan pelbagai pencapaian dan kebahagiaan buat kami sekeluarga. Amin

Tuesday, October 11, 2011

Mendidik Anak Beriman Kepada Al-Qur'an

Saya baru selesai mengajar anak-anak membaca Qiraati. Sambil mengemas, si abang datang menghampiri saya dan bertanya, "Mama, beriman dengan kitab itu macam mana?".

Saya tersenyum seraya berkata, "Beriman dengan kitab itu maksudnya, kita percaya yang kitab al-Qur'an ini datang daripada Allah. Al-Qur'an bukan ciptaan manusia tetapi kata-kata Allah kepada kita."

"Banyaknya Allah bercakap dengan kita!" begitu respon anak ini kemudian.

Saya tersenyum lagi. "Ya sayang. Allah sayangkan kita. Sebab itulah Dia cakap-cakap macam. Macam mama sayangkan abang, kan mama selalu cakap macam-macam pada abang?"

"Ya lah mama. Apa yang Allah cakap dalam al-Qur'an ini? Abang tak faham sebab dalam bahasa Arab. Abang baru belajar sikit saja di sekolah,"

"Dalam al-Quran, Allah beritahu kita apa perkara baik yang mesti kita buat dan apa perkara jahat yang kita tidak boleh buat. Kalau kita buat perkara baik ini, kita akan dapat Syurga tetapi kalau kita buat perkara jahat, balasannya Neraka tau!"

Perbualan kami semakin rancak. "Apa lagi yang Allah cakap mama?"

"Allah ada ceritakan tentang Syurga dan Neraka. Kemudian, ada macam-macam ilmu yang Allah ajarkan di dalam al-Qur'an. Contohnya sains, matematik, ilmu tentang bintang, bulan, matahari dan macam-macam lagi."

"Ustazah kata ada cerita-cerita dalam al-Qur'an."

"Ya betul. Ada cerita tentang nabi dan rasul kita. Cerita tentang binatang-binatang, kisah-kisah tauladan orang-orang dahulu. Semuanya Allah ceritakan supaya kita dapat belajar. Perkara-perkara yang baik, kita boleh ikut. Yang tak baik tu, kita jangan ikut dan jangan buat, nanti Allah marah."

"Wah, banyak betul isi dalam al-Qur'an ini ya mama! Rasa macam tak larat abang nak baca semuanya,"

"Janganlah fikir begitu. Allah tak suruh kita baca semuanya dalam satu masa. Kalau setiap hari kita baca satu mukasurat, lama-lama habislah...Yang penting, abang mesti baca al-Qur'an setiap hari," pujuk saya.

"Nanti abang dapat banyak pahala ya mama?" Matanya bersinar semula.

"Betul tu...Allah akan beri banyak pahala kepada orang yang suka baca al-Qur'an. Lagi satu, al-Qur'an inilah yang akan menemani kita dalam kubur, selepas kita meninggal dunia nanti. Kubur itu kan sempit dan gelap. Al-Qur'an akan datang dan jadi lampu untuk kita."

Abang tersenyum mendengar perkataan saya itu. Dia mencium tangan saya seraya berkata, "Terima kasih mama sebab ceritakan tentang al-Qur'an. Mulai sekarang, abang akan baca al-Qur'an tiap-tiap hari."

Saya mencium dahinya, "Sikit pun tak apa asalkan istiqamah ya"

Dahinya berkerut semula, "Istiqamah tu apa?"

Saya tergelak, "Oh, itu mama cerita lain kali ya, sekarang abang pergi siapkan kerja sekolah dulu, okay?"

Mendidik anak mencintai al-Qur'an harus dimulai dengan kefahaman mengenai al-Qur'an itu. Apa itu al-Qur'an, mengapa al-Qur'an diturunkan kepada kita, apa yang ada di dalam al-Qur'an dan pelbagai lagi. Penerangan mengenai fakta-fakta ini harus diterangkan melalui perkataan yang mudah dan dapat dicerna oleh akal mereka.

Kemudian, kita harus menanamkan kecintaan terhadap al-Qur'an dengan memberitahu mereka mengenai pahala dan kelebihan yang bakal mereka perolehi dengan membaca al-Qur'an. Perkara ini harus selalu diulang-ulang kepada anak-anak terutamanya apabila semangat mereka menurun. Pendekatan yang paling baik adalah memujuk mereka dengan perkataan-perkataan yang lembut tetapi tegas. Tegaskan kepada mereka bahawa hanya dengan membaca al-Qur'an, hidup kita akan dirahmati, kubur kita akan diterangi dan rezeki kita akan bertambah.

Ajak mereka untuk membaca al-Qur'an setiap hari dengan kadar yang sesuai dengan umur mereka. Anak-anak di bawah umur 5 tahun, hanya betah membaca sekitar 10-15 minit sahaja. Bagi anak yang lebih besar, mungkin satu atau separuh mukasurat. Sekiranya mereka mahu baca lebih, biarkan. Yang penting, mereka memberi mesej kepada mereka, walau sesibuk mana pun kita, kita harus membaca al-Qur'an setiap hari.

Akhir sekali, sebagai ibu bapa, kitalah yang harus memberikan contoh kepada mereka. Kita terlebih dahulu sepatutnya membudayakan al-Qur'an dalam kehidupan kita. Apabila anak melihat kita akrab dengan al-Qur'an, secara tidak langsung mereka akan terikut-ikut dan mencontohi kita.

Semoga Allah memudahkan usaha kita untuk mendidik anak-anak mencintai al-Qur'an dan menjadikannya budaya dalam kehidupan.

Saturday, October 8, 2011

Jualan 'Gila' di Big Bad Wolf


Tahun ini Bookxcess  mengadakan jualan gila (crazy sale) Big Bad Wolfnya di MAEPS Serdang. Saya hampir tidak percaya melihat ratusan ribu buku dijual dengan harga yang sangat-sangat murah. Saya sengaja mengambil cuti separuh hari untuk ke sana pada hari pertama jualan (semalam, 7/10/2011) semata-mata mahu mendapatkan buku-buku yang terbaik. Tahun lepas saya pergi pada hari terakhir. Malangnya hampir kesemua buku habis diborong orang terutamanya buku kanak-kanak.

Tahun ini saya berazam untuk pergi pada hari pertama lagi. Walaupun petang Jumaat itu hari bekerja, saya masih terpaksa beratur panjang ketika berada di cashier. Jualan buku ini diadakan di Hall A yang sangat luas. Buku-buku disusun mengikut genre masing-masing. Separuh daripada buku-bukunya yang dijual adalah buku kanak-kanak!

Hampir gila saya dibuatnya melihat buku-buku yang sangat berkualiti dijual pada harga serendah RM3.00 sehingga RM20.00. Ada juga puzzle dan buku-buku bersiri yang harganya mencecah RM60.00 sehingga RM100.00 lebih tetapi masih sangat murah jika dibandingkan dengan harga di kedai buku biasa.

Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh menjual buku-buku semurah ini. Apa yang saya tahu, mereka membeli buku-buku yang tidak habis dijual oleh penerbit-penerbit luar negara secara borong. Mungkin itu yang menyebabkan mereka boleh memberikan harga terbaik kepada ulat-ulat buku seperti saya.

Saya memberikan 5/5 kepada khidmat pelanggan yang diberikan oleh kakitangan Bookxcess ini. Kita boleh memilih sebanyak mana buku yang kita inginkan dan masukkan ke dalam kotak yang disediakan di sana. Sekiranya kotak itu sudah penuh, kita boleh meletakkannya di 'Stor' sementara kita memilih buku-buku lain pula! Apabila selesai memilih, kita boleh duduk dan melihat kembali buku apa yang benar-benar kita inginkan dan kemudian pergi ke cashier untuk membayarnya. Sekiranya kita tak larat untuk membawa buku yang berkotak-kotak itu, boleh minta bantuan mereka untuk membawanya menggunakan troli yang mereka sediakan.

Tak larat membawa buku sehingga ke parkir kereta? Tiada masalah! Mereka akan membantu kita membawa buku-buku itu ke pick-up area. Pastikan salah seorang menunggu di situ dan seorang lagi pergilah ambil kereta. (Oh, lupa beritahu, kereta hanya boleh diparkir di satu tempat. Kita kena naik shuttle bus untuk ke Hall A) Kereta kita boleh dibawa naik ke Hall hanya setelah mendapat pass dari bahagian sekuriti.

Kesimpulannya, memang berbaloi wang yang terbang melayang untuk pembelian buku kali ini. Rasa macam nak pergi sekali lagi...

Hasil jalaan di hari pertama Big Bad Wolf. Beg Tupperware
satu beg plastik di sebelahnya itu kepunyaan saya! Dua lagi Rina punya.

Ini Shuttle Bus yang membawa kita pergi dan pulang semula ke parkir
kereta di bawah sana. Tak perlu tunggu lama, basnya sentiasa ada.

Antara buku yang dijual. Ini hanya sebahagian kecil saja ya
Rugi, rugi kalau tak datang...



Ini cashier - Ramainya orang & panjangnya barisan!
Lagi gambar orang beratur panjang untuk membayar. Lihat, setiap orang beli sekurang-kurangnya satu kotak buku! 



Friday, October 7, 2011

Kecilnya Dunia

Saya sedang mempelajari sesuatu yang baru dalam episod kerjaya saya-Marketing atau Pemasaran. Dunia guaman bukan sekadar drafting perjanjian, menyelesaikan urusan yang dimanahkan oleh klien tetapi juga tentang bagaimana mahu memasarkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai. Ianya juga bisnes! Ia salah satu elemen yang penting untuk survival. Apatah lagi untuk kamar guaman yang kecil seperti yang saya bekerja kini.

Dalam fikiran saya, marketing sesuatu yang susah dan sangat asing. Alangkah malu dan tebalnya muka untuk pergi berjumpa orang-orang tertentu, meminta sedikit kerja. Ah!! Saya malu! Namun sudah beberapa hari saya mengikut otai marketing ini ke sana sini. Berjumpa orang itu dan ini. Duduk bersama mereka berjam-jam bercerita dengan dunia bisnes dan macam-macam topik lain.

Semalam, semasa mahu berjumpa klien di suatu tempat, saya berjumpa dengan kawan lama saya. Kawan satu sekolah rendah! Kawan ini sekarang sudah menjadi tempat merketing saya. Wah! seronok betul bercerita kisah lama sambil menyulam potensi bisnes masa hadapan. Saya tidak berapa cam mukanya tetapi dia yang mula membuka lipatan kenangan lama. Dan cantuman kenangan itu kembali bersatu. Dia rakan sekelas saya dahulu!

Mudah-mudahan saya akan cepat menguasai ilmu pemasaran ini. Bisnes kecil kami memang bergantung kepada pemasaran ini. Saya mula menyukainya.

Alangkah kecilnya dunia ini! Setelah lebih 20 tahun terpisah, akhirnya bertemu semula dalam dunia kami yang kecil ini!

Thursday, October 6, 2011

Lawatan ke Klinik Kesihatan

Semalam saya dan Iman mengunjungi Klinik Kesihatan di tempat kami untuk rutin kesihatan kami setiap tiga bulan. Alhamdulillah orang tidak ramai. Mungkin kerana hujan yang agak lebat tengahari itu menyebabkan klinik tidak padat seperti lazimnya.

Saya pergi ke sana untuk mendapatkan suntikan perancang keluarga. Terdapat pelbagai cara untuk merancang keluarga yang ditawarkan di klinik kerajaan ini dan semuanya percuma! Saya memilih suntikan setiap 3 bulan kerana saya tidak berdisiplin untuk makan pil perancang. Saya juga masih belum didatangi haid sejak bersalin tempohari, untuk membolehkan saya mengambil IUCD.

Bercakap mengenai merancang keluarga, saya percaya perkara ini sangat penting untuk kesejahteraan sesebuah keluarga. Kelahiran yang terancang membolehkan kita merancang perbelanjaan keluarga dan masa depan pendidikan anak-anak. Tentu sekali rezeki itu di tangan Tuhan. Tetapi dengan kewangan yang teratur dan terancang, hati kita akan tenang apabila anak-anak mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan yang memerlukan semakin banyak belanja.

Kelahiran terancang juga penting untuk memastikan si ibu benar-benar sihat. Jarak sekurang-kurangnya 2 tahun di antara kelahiran dan kehamilan seterusnya dapat memastikan ibu kembali sihat sepenuhnya dari segi fizikal, mental dan emosi. Anak-anak juga akan mendapat manfaat daripada kelahiran terancang ini. Mereka bakal mendapat belaian ibu sepenuhnya dalam 2 tahun itu sebelum memberi jalan kepada anak yang berikutnya. Anak dalam usia 2 tahun sudah pandai berdikari walau pun masih bergantung kuat kepada ibunya.

Cara merancang bergantung kepada kesesuaian masing-masing. Lihat di sini untuk pilihan tersebut yang boleh kita dapati dari mana-mana klinik kesihatan atau hospital kerajaan dan swasta. Majlis Fatwa Kebangsaan juga mengharuskan kita merancang dan menyusun keluarga. Apa tunggu lagi? Tepuk dada tanya iman...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...